Wednesday, April 22, 2009

Kasih Allah


Saya selalu mengeluh mengenai kerja-kerja yang harus saya lakukan. Saya rasa penat. Dan saya teringin untuk merasai cuti yang teman-teman saya peroleh sepanjang kami digelar pelajar lepasan SPM.
Dan Allah izin, hujung minggu yang lalu, saya telah melalui sepanjang 3 hari yang melalaikan dan penuh sia-sia. Masa saya dihabiskan untuk sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat langsung untuk akhirat saya malah boleh menjerumus saya ke kancah angan-angan yang membahayakan iman.
Saya telah melalui hari-hari yang saya rasakan sungguh bodoh. Iman saya tiada penawar. Semakin hari semakin lemah. Saya payah untuk khusyu' dalam ibadah. Hati saya semakin sakit. Nafsu pula yang bersuka ria.
Maha suci Allah yang di tanganNya segala kekuasaan. Sejujurnya, saya telah mengharungi hari-hari yang sangat memalukan. Saya malu dengan Allah. Baru sahaja diuji dengan waktu yang sedikit cuma saya sudah kecundang. Apakah yang akan saya jawap di hadapanNya nanti? Saya rasa terlalu kecewa.

Cuma satu yang menguatkan saya bahawa saya adalah remaja dan ini ujiannya. Ujian cinta kepada dunia yang suka-suka, ujian untuk berlawan dengan angan-angan dan ujian melawan nafsu yang suka kepada sesuatu yang tidak pasti. Saya harus kuat. Muslim yang hebat bukan muslim yang tidak pernah silap tetapi muslim yang bangkit daripada kesilapannya. Saya pegang itu.
Ibu pernah menyampaikan dalam halaqah keluarga, bahawa Allah benci orang yang melakukan maksiat tetapi Allah paling benci orang tua yang melakukan maksiat manakala Allah cinta kepada orang yang selalu bertaubat tetapi Allah cinta dan paling kasih kepada pemuda yang selalu bertaubat.
Kerana Allah ciptakan usia remaja penuh dengan cabaran dan dugaan. Justeru, Allah selalu menanti dan sabar menunggu tangisan dan bicara rindu pemuda-pemuda yang cintakan Allah dan takutkan api nerakaNya. Bukankah Allah itu Maha mendengar?

Ayuh sahabat. Kita pulang kepada fitrah iaitu mencintai Allah dan dicintai Allah!

Tuesday, April 14, 2009

Allah itu pemilik cinta


bismillahirrahmanirrahim..
Allah itu penuh cinta dan kasih sayang.
Begitu saya sampaikan kepada pelajar semasa mereka mengikuti kelas pendidikan jiwa pagi tadi.
Saya lihat wajah mereka satu-satu. Wajah yang bersih. Tampak hanya sedikit cuma dosa yang mencalar.
Saya cerita tentang iman.
Bahawa manusia yang punya iman yang terbaik adalah manusia yang selalu berusaha membaiki dirinya. Kerana secara fitrah, manusia tidak lari dari melakukan dosa dan maksiat. Itu janji Allah. Namun, muslim yang cemerlang ialah muslim yang bangkit dari kelemahan.
Kita tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah.
Pernah ibu saya menceritakan, saat dia mengikuti suatu kursus, seorang wanita telah bertanyakan kepadanya tentang keadilan Allah. Dia bilang, jika Allah sudah mentakdirkan kita ini tergolong dalam ahli neraka, mengapa perlu susah-susah beribadah.
Jawab ibu, apakah kita tahu apa-apa yang akan berlaku nanti? baik, kalau begitu, mengapa kita susah-susah menyediakan makanan kerana belum tentu apa yang kita masak itu masuk ke dalam perut kita. mungkin terjatuh atau mungkin dimakan oleh binatang. Itu tidak mustahil untuk berlaku bukan?
Wanita itu diam.
Tambah ibu, kita sebagai hamba memang tidak mengetahui apa-apa yang akan terjadi nanti kerana sesungguhnya semua itu di bawah pengetahuan Allah. Tetapi kita bisa memilih. Jika dari sekarang, kita sudah memilih untuk ke neraka, maka memang akan terbentang luaslah jalan ke neraka..na'uzubillah min zalik.
Allah itu punya rahmat dan ihsan melebihi luasnya langit yang terbentang. Kita mesti yakin itu.
Kita sesekali tidak boleh berprasangka buruk dengan sifat pemurahnya Allah. Sebagai hamba, kita hanya perlu lakukan yang terbaik. Berusaha untuk melaksanakan apa yang diperintah dan berusaha meninggalkan apa yang dilarang. Dan meyakini yang Allah itu tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNya. Dia Maha mendengar dan Maha melihat. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, semuanya di bawah pengetahuan Allah.
Yakinilah dengan kehebatan cinta Allah yang tidak pernah mengecewakan. Allah bukan seperti hambaNya yang penuh dendam dan hasad. Selangkah kita menghampiri Allah, berlari Allah mendekati kita.
Justeru wahai diriku, jangan persia-siakan bonus ini. Ingatlah Allah, nescaya Allah akan selalu mengingati kita!

Sunday, April 5, 2009

tanggungjawab melebihi masa yang ada



subhanallah..

nampaknya telah lama saya tidak menulis. Apabila saya mula berhenti, saya akan payah untuk memulakannya kembali.. itu memang sifat tidak baik yang ada dalam diri saya. susah untuk istiqamah..

sebenarnya, saya punya banyak cerita yang ingin dilampirkan, tetapi entah mengapa saya tidak tahu untuk mulakannya di mana.

cukuplah saya rungkaikan dengan perkataan yang mudah, bahawa saya sangat sibuk kini.

sejujurnya, saya masih tidak merasai cuti panjang sebenar yang selalunya dirasai oleh pelajar-pelajar lepasan spm yang lain.

saya pernah mengeluh pada ibu, tentang kepenatan yang saya rasa. Jawap ibu," nak dapat pahala memang payah".

ringkas tetapi cukup untuk menyegarkan kembali hati saya yang lelah.


Cuma, seperkara yang selalu mencengkam perasaan saya, yang selalu sahaja menghantui saya ialah, apakah amalan-amalan yang telah saya lakukan selama ini diterima baik oleh Allah?

Apakah kerja-kerja Islam yang telah saya lakukan sudah cukup bersih mengikut piawaian Sang Maha Mengetahui? atau apakah selalu sahaja amalan saya bercampur dengan najis-najis syirik khuffiy dan maksiat?

saya takut. takut jika saya menyangka bahawa saya sudah cukup beramal, tetapi rupa-rupanya di akhirat nanti amalan-amalan saya dicampakkan kembali ke wajah kerana amalan-amalan saya itu dikotori dengan kejahatan-kejahatan bisikan syaitan yang direjam.. na'uzubillah min zalik.. semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya yang terdahulu dan yang kemudian..
tolong doakan saya..